Oleh : nakhlah
Sudah agak lama ingin berkongsi apa yang terpendam selama ini di benak. Kira-kira orang lain juga mungkin punya perasaan yang sama namun mungkin mereka masih ‘tidak bertemu’ ruang untuk menyampaikan. Saya memulakan kali ini selepas satu desakan daripada dalam yang mendorong untuk saya menyatakan. Bicara dalam kerangka hedonisme.
Program qiamullail baru-baru ini kami dihidangkan dengan sebuah filem. Di kalangan pembaca mungkin ada menyatakan filem ini sudah agak lama. Di kalangan kami termasuk saya baru pertama kali melihat filem ini pada malam tersebut bersama sahabat-sahabat. Sebelum tayangan pada malam itu saya sudah mendengar ramai yang mengatakan ia sebuah filem Islam Liberal. Prejudis saya ketika itu menggambarkan filem ini pastinya mirip filem-filem yang pernah diarahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad. Gubra, Sepet, Mohsin atau mungkin juga Akhirat dan Fitna. Berbalik pada persoalan filem tadi, dikatakan filem tersebut menuntut kebebasan seorang wanita. Ah, lagi menggumamkan. Pasti ia bakal mempromosi agenda SIS! “Wanita Berkalung Sorban” tajuk terpancar melalui LCD. Mmm, menarik maksudnya. Anak mata difokuskan.
Dua jam berteleku di hadapan skrin. Tema yang dapat saya simpulkan daripada filem ini ialah tentang perjuangan seorang wanita menuntut kebebasan. Namun, lebih kurang 45 minit sebelum tayangan tamat, saya mula keliru. Adakah benar filem ini mempromosi agenda SIS? Saya tidak dapat membuat keputusan. Akhirnya, saya menilai semula, membuat klasifikasi.
Bahagian 1 : Saya kategorikan sebagai sebuah salah faham yang ditonjolkan melalui filem tesebut.
1) wanita tidak boleh jadi pemimpin, menaiki kuda, bekerja, belajar tanpa muhrim
2) cara didikan ayah terlalu kasar dan tidak adil antara anak lelaki dengan perempuan
3) wanita tidak perlu belajar tinggi kerana peranannya hanya dalam keluarga.
4) perkahwinan paksa terhadap anak gadis- dalam Islam tidak ada. (Apatah lagi kedudukannya seperti meng’kambing hitam’kan anak tersebut kerana ingin memastikan kelangsungan psantren yang ditubuhkan)
5) penderaan terhadap isteri
6) menggunakan dalil al-Quran surah Nisa : 19, “pergauilah mereka (isteri-isteri kamu dengan baik” dalam hal layanan kepada suami bukan pada tempatnya sedangkan amatlah bertentangan dengan larangan dalam surah al-Baqarah : 222, “janganlah kamu mendekati isteri-isteri kamu sehinggalah mereka suci” (memaksa isteri melayan dalam keadaan haid, nifas dan sarat mengandung)
7) suami tidak berlaku adil dalam hal poligami
8) wanita dipandang hina dan dikatakan tidak tahu melayan suami kerana meminta cerai-tanpa mengetahui dan menyoal selidik mengapa isteri sanggup meminta cerai
10) Memberi gambaran negatif terhadap biah sebuah psantren dari sudut sistem pembelajaran dan pembawakan para mu’allim. Walaubagaimanapun, saya masih tidak menolak bahawa perkara-perkara seperti soal wanita bekerja, kepimpinan, safar mar’ah untuk belajar dan lain-lain pada asalnya sememangnya wanita tidak dibolehkan. Namun yang menjadi kesilapan dan membawa salah faham adalah dalam konteks penyampaian mesej dalam filem ini ia tidak menonjolkan masalah ini telah pun dibahaskan oleh para ulama sehingga ada hal-hal yang dibenarkan kepada wanita dalam beberapa keadaan jika memenuhi syarat.
Bahagian 2 : Agenda Islam Liberal. Saya tidak menafikan adanya unsur ini.
1) aurat tidak tertutup sempurna
2) ikhtilat lelaki perempuan berpegang tangan, menaiki kuda, bersalam dengan posmen
3) ikhtilat kanak-kanak lelaki dan perempuan mendorong unsur couple dari kecil
4) mempersenda hukum ‘haram’ menonton filem tiada dalam dalil
5) seorang isteri bertemu dengan lelaki yang bukan muhrim (berkhalwah) hingga bersentuhan dan membawa fitnah
6) kalimah-kalimah memesongkan aqidah : “Tuhan tidak adil kepada perempuan”, “ Tuhan tidak pernah mendengar istighfar ”
7) kebebasan ingin keluar dari kongkongan batas-batas agama dari sudut aurat, pergaulan bebas8) penonjolan hubungan suami isteri (unsur erotisme)-(kami sensor part ini)
Bahagian 3 : Pada bahagian inilah saya mula menjadi keliru apabila babak-babak yang ditonjolkan mula menyebelahi tuntutan Islam dan kebebasan wanita Islam yang benar.
1) realiti yang berlaku ramai golongan agama yang tidak pernah diberi pendedahan dunia luar apabila berada dalam dunia sebenar mengalami kejutan budaya lantas meninggalkan ajaran Islam atas dasar inginkan kebebasan dan ingin mencuba
2) suami turut membantu isteri membuat kerja rumah, tidak memaksa untuk diberi layanan
3) isteri boleh meminta fasakh dalam hal-hal yang dibenarkan di sisi syarak
4) perempuan punya hak untuk mengeluarkan
5) perempuan tidak semestinya berada di dapur sahaja
6) misi dalam membuat perubahan minda jumud dan konservatif apabila cuba membawa masuk ilmu-ilmu moden melalui penubuhan perpustakaan moden
7) walaupun Anissa (watak utama) memperjuangkan kebebasan wanita namun tidak pernah menolak poligami, berkahwin, tetap bertudung sehingga ke akhir episod dan ini semua adalah BERTENTANGAN dengan dasar perjuangan SIS.
Satu aspek yang perlu disebut, dalam membuat penilaian aspek latar belakang masyarakat mesti diambil kira. Kesedaran bahawa kelahiran filem ini adalah daripada sebuah produk negara liberalis yang kuat. Mungkin penonjolan salah faham dan prejudis yang melampau kerana faktor waqi’ yang sedia ada. Pada pengamatan saya, industri hiburan tika ini berada di tahap mencabar pemikiran kita dalam membuat penilaian. Sejujurnya, saya berpendapat bahawa golongan agama memang tidak sepatutnya turut terjebak dalam menonoton filem-filem, drama-drama dan lain-lainnya hanya kerana atas alasan untuk mempersiapkan diri bertemu mad’u. Namun, untuk meninggalkan hiburan secara total juga seperti tidak kena kerana kita tahu ada hiburan yang dibenarkan dalam Islam yang mesti bijak diolah sebagai alternatif untuk masyarakat dan diri kita sendiri. Mengubati mad’u mesti dikenalpasti dahulu penyakitnya. Mungkin satu contoh yang boleh kita lihat hiburan alternatif dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz membawa Mawi ke Kelantan. Dan di Washington kini telah lahir sebuah medan hiburan alternatif Islam di bawah perusahaan Ali Ardekani iaitu Ummah Films.
Kita tidak perlu untuk menonton semua jenis filem dan drama. Jika kita bijak, cukup dengan hanya satu filem sudah cukup (atau jika tanpa menonton filem kita sudah mampu membuat analisis itu lebih baik) untuk memberi gambaran kepada kita tahap pemikiran masyarakat terhadap hiburan. Secara umum, pandangan terhadap bentuk-bentuk filem yang ada hari ini termasuk Malaysia menggambarkan bahawa masyarakat sudah mula inginkan perubahan pada moral dan nilai Islam yang sebenar. Critera poligami, kes dera, cinta tiga segi, hantu dan puaka mula lapuk dan tidak realistik yang penuh khayalan. Masyarakat sudah inginkan mesej Islam yang telus dan realistik. Dan, kita dapati unsur-unsur ini sudah perlahan-lahan masuk dalam industri maya ini. Tinggal lagi, watak-watak yang ditonjolkan masih tidak mampu menjadi moral kepada masyarakat dari segi ikhtilat dan aurat.
Secara keseluruhan, filem Wanita Berkalung Sorban masih tidak mampu membawa moral dan meninggalkan kesan kuat kepada masyarakat walaupun unsur kebaikan ada diterapkan. Antara salah faham terhadap syariat Islam dengan tuntutan kebebasan total kedua-duanya tumbuh di atas satu persamaan sikap mutasyaddid kedua-dua pihak. Kesimpulan saya terhadap filem ini, surah al-Baqarah ayat 42 : “Janganlah kamu mencampur adukkan yang hak dengan yang batil”. Liberal+SIS+Tajdid = ??? Tolong ciptakan satu istilah… Islam itu Wasathiah. Terima kasih.