Saturday, July 18, 2009

Penjajahan Songsang

Tertegaknya Islam Kerana Keadilan

Kezaliman dan penindasan penjajah Eropah selama 500 tahun di Tanah Melayu cukup memberi impak yang besar kepada masyarakat di dalamnya malahan dunia turut merasai bahang keangkuhan dan kegilaan itu, apabila serangan ideologi dilancarkan ke atas dunia menyebabkan satu momentum ke atas kesyumulan Islam itu dijadikan teori dan gagasan yang perlu dilaksanakan untuk membolosi dan meruntuhkan tembok kerajaan Islam yang terakhir, Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Segala bentuk bumi, corak pentadbiran, politik, ekonomi, sosial, akhirnya tunduk melutut mengikut hawa nafsu manusia yang melampaui batas, menyimpang jauh dari landasan Islam yang sebenar seterusnya meragut keadilan dan kebaikan yang dinaungi Islam seluas 2/3 dunia dek kerana negara-negara Islam dan pemimpin-pemimpin Islam yang lemah telah memutuskan harapan kepada Allah s.w.t yang sepatutnya menjadi tempat bergantung setiap orang Islam. Mereka bukan sahaja mengimport kebendaan Barat tetapi teori, ideologi, falsafah yang diharapkan dapat membina umat Islam.

Hari ini, kita dapat melihat umat Islam hidup di dalam kekacauan dan keresahan menantikan sinar kebahagiaan yang benar-benar dapat mengatasi segala keperluan hidup manusia dalam segala aspeknya yang sesuai dengan fitrah dengan sifat semulajadi manusia sama ada rohani ataupun jasmani, samada individu ataupun masyarakat yang menyentuh segala bidang yang mesti dialami oleh kehidupan manusia.
Walaupun di Greek,India dan China telah mencipta tamadun dan terdapat ahli-ahli falsafah yang mempunyai otak geliga dianggap paling bijak di kalangan manusia, tetapi mereka sanggup meletakkan manusia itu mengabdikan diri kepada makhluk yang lebih rendah daripada manusia itu sendiri. Mengabdikan diri kepada kayu, batu, lembu dan seumpamanya. Ini merupakan keruntuhan yang berlaku di kalangan manusia. Kalaulah tamadun kekayaan ini merupakan perkara yang amat perlu, kalaulah kedatangan Islam untuk mengadakan ladang-ladang, kebun-kebun yang luas yang kononnya menjadi asas kebahagiaan hidup manusia, maka perlu Allah melahirkan Nabi Muhammad di negeri Parsi. Kalau sekadar hendak menciptakan makanan-makanan yang mengenyangkan perut, Allah melahirkan Nabi Muhammad di India dan sebagainya. Tetapi, Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan di bumi yang kering kontang dan mundur, menunjukkan kepada kita betapa tamadun yang diterokai oleh Parsi dan Rome yang menjadi kuasa besar manusia ketika itu tidak dapat menjamin kebahagiaan manusia dalam ertikata yang sebenarnya.

Tahukah saudara-saudara sekalian? Di Mesir, orang Islam hanyalah golongan minoriti, ada pun orang-orang kafir yang berada di Mesir pada masa itu adalah golongan majoriti. Di Parsi, Islam adalah minoriti, orang Majusi adalah majoriti. Tetapi dengan keadilan Islam, golongan minoriti Islam telah berjaya melaksanakan hukum Islam yang adil sehingga golongan-golongan majoriti telah menganut Islam dan memeluk agama Islam. Inilah dia keadilan Islam. Oleh itu masalah ada orang kafir, masalah majoriti atau minoriti orang Islam tidak timbul sekiranya Islam itu diberi kesempatan untuk berkuasa, untuk menjalankan hukumnya di bumi Allah, maka Islam akan berjaya menakluk hati-hati manusia dengan keadilan, kebaikan dan kebenarannya.

Satu Kebenaran Sebuah Penjajahan Songsang
Akibat penyelewengan, kelalaian dan kelemahan iman umat Islam telah menyebabkan tentera Monggol yang diketuai oleh Hulagu Khan dari keturunan Ghenzis Khan dengan mudah menakluki Baghdad, pusat pemerintah kerajaan Islam ‘Abasiyyah. Bandaraya Baghdad dan penduduknya dibunuh kejam sehingga ibu kota tersebut menjadi kolam darah dan bukit mayat. Kitab-kitab para ulama’ yang ada di perpustakaan di sekitar Baghdad telah dibakar atau dipunggah ke sungai untuk dijadikan jambatan bagi menyeberangi sungai Furat dan Dajlah hingga menyebabkan air sungai menjadi hitam oleh dakwat dari pena para ulama’ Islam.

Setelah berkuasa di Baghdad, penjajah Monggol merangka suatu undang-undang yang dinamakan Yasar bagi menggantikan undang-undang Islam. Undang-undang ini adalah campuran dari ajaran Yahudi, Kristian, Islam dan hasil pemikiran mereka. Mereka memasyhurkan undang-undang ini dan memaksa seluruh rakyat untuk tunduk kepadanya.
Namun demikian umat Islam masih tidak mahu melepaskan pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w yang diperjuangkan generasi sahabat. Mereka lebih rela menerima kezaliman melalui penyeksaan hatta penyembelihan daripada tunduk di bawah sebarang undang-undang yang lain dari undang-undang Islam.
Hasil dari ketegasan umat Islam yang tidak mahu tunduk di bawah undang-undang Yasar, menyebabkan kekuatan iman umat Islam yang terjajah berjaya memerintah bangsa Mongol yang menjajah. Sejarah telah membuktikan penjajahan songsang ini berlaku dan bagaimana penjajah Monggol menyerah kalah lalu melemparkan undang-undang Yasar yang digubal oleh tangan-tangan mereka sendiri dan menganut Islam. Akhirnya penjajah Monggol telah turut memberikan sumbangan yang besar di dalam sejarah dunia Islam.
Cuba kita bayangkan, bagaimana pemilik hati dan iman orang-orang yang dijajah, akhirnya menjajah hati-hati penjajah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia di mana bangsa yang menjajah telah menganut agama bangsa yang dijajahinya sendiri. Tidak terdapat suatu dokumentasi sejarah yang mencatatkan insiden ini melainkan di dalam sejarah Islam. Orang-orang Mongol yang dahulunya merupakan suku bangsa dari Asia Barat yang liar dan ganas, akhirnya menjadi penganut Islam yang setia berubah akhlak dan peribadinya kepada bangsa yang bertamadun melalui akidah Islam yang dianuti. Mereka bergerak membawa dan menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

KESIMPULAN
Sekalipun pemerintahan Islam itu di ambang kejatuhan dan kelemahan, biasanya mereka masih dapat bertahan melainkan setelah musuh Islam melancarkan serangan ideologi yang tercetus daripada teori dan gagasan memisahkan urusan agama dengan dunia kesan daripada Revolusi Eropah. Namun, jika sesuatu bangsa yang bertamadun hanya disebabkan oleh harta dan kekayaan dunia, ia tidak akan kekal yang akhirnya akan jatuh jua dan akan merendahkan martabat manusia itu sendiri. Sebagai kesimpulan, suatu bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang menganut Islam dan menjalankan syariatnya serta kebaikan dan keadilan di dalamnya. Maka, penjajahan itu bukan selamanya dilihat sebagai negatif selagimana uslub, manhaj dan matlamatnya hanya untuk Islam.